BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Cerita Jenaka

Cerita jenaka ialah salah satu daripada sastera rakyat yang berbentuk cerita. Sastera  rakyat merupakan hasil sastera milik sesuatu kumpulan masyarakat yang diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain secara lisan. Cerita jenaka menurut Danandjaja (1984:117) beliau menamakan kelompok cerita jenaka dinamakan lelucon dan anekdot yang bermauksud “ dongeng-dongeng yang dapat menimbulkan rasa menggelikan hati, sehingga menimbulkan ketawa bagi yang mendengarnya mahupun yang menceritakannya”. Menurutnya lagi, “jika anekdot menyangkut kisah fiktif lucu peribadi seorang tokoh atau beberapa tokoh yang benar-benar ada… lelucon pula menyangkut kisah fiktif lucu anggota suatu kolektif seperti suku bangsa, golongan, bangsa dan ras.
            Sesetengah pengkaji mengelompokkan cerita-cerita jenaka melayu tradisional kepada tiga golongan menurut sifat-sifat utamanya ( A.Bakar(ed.), 1974:39)iaitu;
1.      Bodoh sial : termasuk dalam golongan ini ialah Lebai Malang dan Pak Kaduk.
2.      Pintar bodoh  : termasuk dalam golongan ini ialah Pak Pandir.
3.      Pintar : termasuk dalam golongan ini ialah Pak Belalang dan Si Luncai.

Namun begitu, terdapat juga cerita-cerita jenaka yang masih tidak dibukukan dan tidak diketahui oleh masyarakat pada masa kini. Cerita-cerita itu disampaikan melalui satu generasi ke satu generasi yang lain. Cerita-cerita ini kebanyakan terdapat di kampung-kampung atau pedalaman kerana kehidupan mereka di kawasan itu masih mengamalkan cara hidup yang tradisional. Cerita-cerita ini juga disampaikan untuk memberi pengajaran dan juga teladan kepada cucu-cucu dan juga cicit-cicit mereka. Cerita jenaka ini juga berbeza mengikut tempat dan daerah dan juga mengikut versi kaum dan bangsa. Disini saya ceritakan cerita-cerita jenaka yang terdapat di tempat saya iaitu Gua Musang iaitu sebuah daerah yang berada di negeri Kelantan. Cerita-cerita ini saya dengar daripada ayah saya dan dia juga telah mendengarnya daripada datuk neneknya yang terdahulu.
1. Kisah Tok Batin
Kisah ini mengenai seorang tok batin orang asli di sebuah daerah pedalaman di Kelantan. Pada suatu hari, Tok batin tersebut telah mendapat undangan untuk berjumpa dengan menteri di Kuala Lumpur. Setelah bermesyuarat di antara penduduk asli di tempat itu, Tok Batin itu bersetujulah untuk bertolak ke Kuala Lumpur untuk berjumpa menteri tersebut pada minggu hadapan. Pelbagai persiapan yang telah dilakukan termasuklah kenduri doa selamat yang telah diadakan oleh orang-orang kampung. Maklumlah, ini adalah kali pertama tok batin mahupun masyarakat di tempat itu keluar dari kampung mereka. Tambahan pula, tok batin pergi ke Kuala Lumpur dijemput dengan menaiki kapal terbang yang ditempah khas untuknya oleh menteri tersebut.

            Tibalah pada hari yang dijanjikan, tok batin berangkat ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang khas untuk menjemputnya. Semua penduduk kampung tersebut keluar menghantar tok batin kesayangan mereka itu ke tangga kapal terbang tersebut. Semua penduduk kampung juga tidak melepaskan peluang untuk melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat jalan kepada tok batin mereka. Apabila tiba di tangga kapal terbang tersebut, tok batin menanggalkan kasutnya yang telah dikilatkan sebelum menaiki tangga tersebut. Dia menaiki kapal terbang tersebut dengan bangga dan teruja sekali kerana seumur hidupnya dia tidak pernah walau menyentuh sekalipun kapal terbang. Dia dengan yakinnya meninggalkan kasutnya di bawah tangga tersebut. Penduduk kampung melambai-lambai ke arah tok batin yang telah duduk di dalam pesawat. Ada yang terlompat-lompat dan seperti memberitahu sesuatu dan ada juga yang ketawa.
            Sesampainya di Kuala Lumpur, tok batin menuruni tangga dengan perasaan terujanya untuk mendapatkan kasutnya yang telah diletakkan di bawah tangga. Namun begitu, kasutnya sudah tiada lagi kerana telah ditinggalkan semasa dia mula-mula menaiki kapal  terbang tadi. Tok batin itu menepuk dahinya dan berkata “Alamak! Kasutku tinggal di bawah tadi sudah tiada.”